Ahad, 22 Februari 2009

RM440 juta kos Pendidikan Khas

PUTRAJAYA 12 Feb. - Kementerian Pelajaran memperuntukkan kos sebanyak RM440 juta bagi menampung keperluan pembangunan 3,532 projek Pendidikan Khas di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, projek menaik taraf 5,440 kelas pemulihan khas dengan kos RM212 juta adalah antara projek utama dalam peruntukan tersebut selain menaik taraf 405 Kelas Integrasi Pendidikan Khas dengan kos RM16 juta.

''Di samping itu, pembinaan dua buah Sekolah Vokasional Pendidikan khas di Merbok, Kedah dan Kuantan, Pahang, masing-masing dengan kos asal RM36.5 juta dan RM38.5 juta.

''Pada tahun ini sahaja, sebanyak RM35 juta akan dibelanjakan untuk menaik taraf 701 kelas pemulihan khas di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Putrajaya sebagai Program Anak Angkat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini semalam.

Pada majlis itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie menyerahkan sumbangan bernilai RM492,500 kepada isteri Menteri Pelajaran yang juga Penaung 3PK seluruh Malaysia, Tengku Marsilla Tengku Abdullah, sebagai penaja utama pembangunan 3PK Putrajaya itu untuk tempoh lima tahun bermula 2007.

TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional sebelum ini juga pernah memberikan sumbangan bernilai RM250,000 pada 2007 untuk tujuan sama.

3PK adalah pusat khidmat setempat yang menawarkan khidmat terapi dan pemulihan, pusat penyebaran maklumat mengenai pendidikan khas termasuk berkaitan kerjaya individu berkeperluan khas.

Pusat tersebut juga menawarkan khidmat kaunseling bukan sahaja kepada ibu bapa dan murid malahan kepada orang ramai yang berminat, secara percuma.

Kata Alimuddin, berikutan penambahan elaun khas kanak-kanak kurang upaya daripada RM50 kepada RM150 sebulan, peruntukan perbelanjaan mengurus turut meningkat iaitu sebanyak RM158 juta pada tahun ini berbanding RM102 juta tahun lalu.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, Jabatan Pendidikan Khas kementerian itu telah dinaik taraf kepada Bahagian Pendidikan Khas dengan pertambahan bilangan pegawai dan kakitangan, untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

''Selain mendirikan sekolah-sekolah khas, kita juga menyediakan kelas-kelas khas di sekolah-sekolah biasa dan dengan cara ini kita harap lebih ramai pelajar ini mendapat kemudahan daripada kelas-kelas yang ditubuhkan ini.

''Setakat ini terdapat tujuh buah pusat itu di seluruh negara, iaitu di Putrajaya, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor dan Melaka,'' katanya.

Tambahnya, kementerian tersebut menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu pusat tersebut di setiap negeri.

sumber : Utusan Malaysia 13 Feb 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan