Jumaat, 13 Februari 2009

Pengenalan Pendidikan Khas

Pengenalan Pendidikan Khas

Perkhidmatan kepada kanak-kanak kurang upaya adalah tanggungjawab tiga Kementerian, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pendidikan bagi kanak-kanak tersebut dikendalikan oleh dua Kementerian iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah:

  • cacat fizikal teruk,
  • rencatan akal sederhana dan teruk,
  • pelbagai kecacatan dan
  • kecacatan yang tidak membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia


Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan perkhidmatan pendidikan untuk murid berkeperluan khas yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran, dan murid pemulihan khas.

Kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran (BP) di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia adalah seperti berikut:

  • Sindrom Down
  • Autisme ringan
  • Attention Deficit Hyperactivity Disorder
  • Terencat akal minimum, dan
  • Bermasalah pembelajaran spesifik (contoh: Disleksia)

Pendidikan yang diberi menekankan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid-murid ini boleh mendapat pendidikan ke peringkat yang tertinggi bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan dan hidup berdikari.



Dasar Pendidikan Khas

Program yang dijalankan berlandaskan kepada dasar-dasar berikut:

  • Akta Pendidikan 1996, Bab 8.
  • Akta Pendidikan (Pindaan) 2002.
  • Peraturan -Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.
  • Keputusan Jawatankuasa Dasar, Kementerian Pelajaran Malaysia [Jawatankuasa Perancang Pendidikan (JPP), Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia, Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP) dan Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Khas].
  • Deklarasi Antarabangsa:
    United Nations' World Programme of Action Concerning Disabled Persons (1983).
    The World's Declaration on Education for All (1990).
    The United Nations' Standard Rules on the Equalisation of Opportunities for Person With Disablilities (1993).
    The Framework for Action on Special Needs Education (Salamanca Statement) 1994.
    Biwako Millennium Framework for Action Towards an Inclusive Barrier-Free and Rights-Based Society for Persons with Disabilities in Asia and the Pacific (2002).



Program Pendidikan Khas

Program Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia dilaksanakan melalui:

Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran dan pembelajaran (menengah).


Program Pendidikan Khas Integrasi untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. Program ini diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.

Program Sekolah Pendidikan Khas ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Khas manakala Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pemulihan Khas ditadbirkan sepenuhnya oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

Program Pendidikan Khas Integrasi Teknik dan Vokasional pula ditadbirkan oleh Jabatan Pendidikan Teknikal manakala Jabatan Pendidikan Khas bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan pengisiannya.

sumber: http://emoe.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan