Ahad, 22 Februari 2009

Kesan Masalah Tidak Dibantu

GANGGUAN DAYA TUMPUAN DAN HIPERAKTIF

Masalah kesihatan mental yang berlaku pada kanak-kanak adhd

Kesihatan mental bukan gila atau kurang siuman. Kesihatan mental adalah cara kita berfikir, merasa, berkelakuan dan berinteraksi dengan orang lain. Ia juga boleh mempengaruhi persepsi seseorang terhadap diri sendiri dan bagaimana dia melihat masalah serta bertindak menyelesaikannya.

Perunding psikiatri kanak-kanak dan remaja, pusat perubatan Malaysia universiti Malaysia (PPUM), Profesor Madya Dr Aili Hanim Hashim, berkata banyak faktor mempengaruhi kesihatan mental seseorang, antaranya kurang perhatian keluarga, cara dibesarkan, dianiaya dan didera serta kejadian negatif dalam keluarga seperti ibu bapa kerap bergaduh, suka marah dan menjerit atau menggunakan kekerasan.

Persatuan Kesihatah Sedunia (WHO) mentakfifkan kesihatan mental sebagai set lengkap kesejahteraan yang membabitkan fizikal, mental dan sosial. Di seluruh dunia dianggarkan 20 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakkannya tidak dikesan dan tidak diberikan rawatan.

Ibu bapa biasanya mengambil sikap lepas tangan dan tutup sebelah mata walaupun mereka sedar anak mereka menunjukkan kesukaran kerana menganggap perkara itu akan hilang apabila anak itu dewasa, tetapi hakikatnya masalah akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani dengan awal. Banyak masalah kesihatan mental berlaku pada kanak-kanak seperti Gangguan Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), Gangguan Daya Tumpuan (ADD) dan masalah pembelajaran lainnya. Namun masalah kesihatan mental ini kerap berlaku pada ADHD dan ADD ini. Berdasarkan program bersama Jabatan Psikiatri PPUPM dengan lima sekolah di Petaling Jaya, didapati lebih 50 murid sekolah mengalami masalah ADHD dan secara purata setiap kelas ada seorang kanak-kanak ADHD pada peringkat yang berbeza.

Kadar kelaziman maslah kesihatan mental ini di kalangan kanak-kanak ialah satu hingga tiga peratus dan kajian mendapati kira-kira 10 peratus orang dewasa turut mengalami masalah ini yang mungkin diperoleh ketika dewasa atau bermula sejak kecil. Menurut perunding psikiatri, walaupun ada ibu bapa yang menolak apabila dinasihatkan membawa anak berjumpa psikiatri, kebanyakkannya bersetuju selepas memahami keadaan sebenar yang dialami oleh anak-anak.

Lebih penting, di kalangan murid yang menerima rawatan, lebih 50 peratus menunjukkan peningkatan dalam prestasi dalam pelajaran. Pada peringkat awal, kanak-kanak ADHD tidak menimbulkan banyak masalah selain dilabel sebagai kanak-kanak hiperaktif dan ketinggalan dalam bilik darjah, tetapi ia memberi banyak kesan negatif termasuk masalah sosial apabila meningkat dewasa. Masalah kurang daya tumpuan yang dialami kanak-kanak ADHD ini tidak dapat belajar dengan baik. Mereka tidak boleh memberi tumpuan pada pelajaran dan sukar menyudahkan tugasan. Akibatnya mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. pada pandangan mata kasar, kanak-kanak ADHD ini normal seperti kanak-kanak normal lainnya tetapi mereka tidak dapat memberikan tumpuan dalam bilik darjah. Mereka sering dilabel sebagai pelajar lembab, pelajar malas dan diletakkan dalam kelas terakhir.

Masalah kesihatan ini mempunyai banyak peringkat dan sesetengahnya hanya menunjukkan tanda di tempat tertentu seperti di sekolah dan di rumah sahaja. Namun isu yang leih besar ialah kelewatan pengesanan dan diberi rawatan sehingga menimbulkan masalah lain. Antara punca kelewatan adalah:
• Tanda dan gejala tidak jelas atau tidak kelihatan. Ibu bapa menganggap gejala dialami adalah disebabkan kenakalanbiasa dan tiada kaitan dengan penyakit mental. Sedangkan hakikatnya perlakuan kanak-kanak yangnampak malas, tidak mahu membuat kerja, tidak mahu belajar, suka menyendiri, dan sukar menyudahkan tugasan disebabkab penyakit danmereka perlu dibantu dengan berjumpa dengan pakar untuk diberi rawatan yang sewajarnya.
• Guru dan keluarga tidak tahu atau kurang jelas dengan gejala yang ditunjukkan oleh kanak-kanak.
• Ramai ibu bapa tidak pasti ada rawatan yang mampu membantu anak-anak mereka.
• Kesan stigma terhadap rawatan psikiatri yang dianggap hanya untuk penyakit jiwa. Malah ada ibu bapa yang tidak mengetahui kewujudan psikiatri ini.

Tanda ADHD
Tanda ADHD boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, Bukan semua tanda ini ada pada ADHD, tetapi untuk mengenal dan mengesahkan seseorang itu mengalami ADHD dia perlu menunjukkan tanda sekurang-kurangnya dua situasi contohnya di rumah dan sekolah.

Tanda kurang tumpuan
• Sukar memberikan tumpuan pada apa yang dipelajari
• Sukar mengekalkan tumpuan pada permainan atau pelajaran
• Kelihatan tidak mendengar apabila kita bercakap dengannya dan kena panggil banyak kali untuk mendapat perhatian
• Biasanya sukar mematuhi arahan dan tidan dapat menghabiskan sesuatu tugas. Jika boleh pun biasanya mengambil masa yang lama, ini termasuk makan, mandi dan memakai pakaian
• Sukar menguruskan tugas dan aktiviti
• Selalu mengelak, tidak suka atau tidak mahu melakukan kerja yang memerlukan otak untuk berfikir
• Kerap hilan barang
• Tumpuan mudah terganggu dengan persekitaran
• Pelupa
• Menghadapi masalah dalam membaca, mengeja dan mengira

Tanda hiperaktif
• Tidak boleh duduk diam dan jika duduk tangan atau kaki bergerak digoyang-goyangkan
• Sering meninggalkan tempat duduk dalam bilik darjah
• Berlari atau memanjat yang keterlaluan
• Sukar bermain sendiri
• Sentiasa bergerak seolah-olah dikakinay ada ‘motor’
• Terlalu banyak bercakap


Tanda impulsif
• Kerap menjawab soalan sebelum soalan habis ditanya
• Sentiasa tidak sabar menunggu giliran
• Kerap menggangu orang lain


ADHD lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki (tiga kali ganda) tetapi tiada sesiapa yang mengetahui sebabnya. Kanak-kanak ADHD menunjukkan kelakuan yang terlalu aktif, tidak sabar menunggu giliran, terutama ketika beratur, dan tidak mampu menumpukan perhatian pada satu-satu aktiviti.

Mereka juga biasanya menjawab soalan sebelum soalan habis ditanya dan kerap memotong cakap orang. Walaupun memotong cakap orang adalah normal bagi kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun, tetapi untuk kanak-kanak ADHD ia keterlaluan dan menjadi masalah.

Bukanmereka tidak mahu menumpukan perhatian atau sengaja berkelakuan hiperaktif tetapi ia berlaku di luar kawalan mereka. Malah, ADHD antara faktor yang menyebabkan kanak-kanak selalu hilang apabila di tempat awam seperti pusat beli belah.

Uniknya, kanak-kanak ADHD boleh menghafal dengan baik, tetapi bukan dalam subjek pelajaran. Bahkan mereka juga berisiko untuk menipu untuk menyelamatkan diri daripada dimarahi oleh guru dan ibu bapa.


Mengapa kanak-kanak ADHD perlu rawatan segera?

ADHD atau ADD boleh memberi kesan besar kepada pencapaian akademik, perkembangan social dan peningkatan kerjaya seseorang. Gangguan ini lebih sukar dirawat jika masalah ini hanya dikesan ketika remaja kerana sudah menjadi sebahagian kelakuan mereka, selain itu, hubungan keluarga yang keruh memburukkan masalah ADHD atau ADD anak. Faktor ini termasuk interaksi negatif antara ibu bapa dan adik beradik, kawalan terlalu ketat, kemurungan ibu, sikap bapa yang anti sosial dan masalah perkahwinan.

Bagi penyakit remaja, semua faktor ini menyebabkan mereka lebih rapat dengan kawan dan cenderung mengabaikan keluarga, terutama ibu bapa yang sering memahari mereka. Ia juga dianggap antara faktor yang boleh menyebabkan remaja ADHD atau ADD lari dari rumah. Kira-kira 30 hingga 40 peratus remaja ADHD keciciran pelajaran dan hanya lima hingga 10 peratus berjaya belajar ke peringkat tinggi.

Remaja ADHD juga menunjukkan suka berlengah, melawan guru, terbabit dalam aktiviti seks dan hamil pada usia yang begitu muda. Apabila bekerja, 70 hingga 80 peratus sukar menunjukkan prestasi kerja yang diharapkan dan ramai tidak mendapat kenaikan pangkat walaupun bekerja berpuluh tahun lamanya. Jika berniaga, isteri yang akanmenguruskan hal ehwal perniagaan.

Kira-kira 40 hingga 50 peratus individu dewasa ADHD mengamalkan hidup anti social. Mereka lebih cenderung terbabit dalam kemalangan kerana tidak sabar dan suka memandu laju, suka melanggar peraturan, panas baran, berkelakuan kasar serta mudah mengalami kemurungan.

Justeru, ibu bapa dan guru perlu memberi lebih perhatian kepada kanak-kanak, terutama jika mereka berkelakuan luar biasa berbanding kanak-kanak normal.

Antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa adalah meluangkan masa melakukan aktiviti bersama anak-anak seperti bermain, bersembang, membaca atau tidur kerana melalui cara ini mereka dapat mengesan perlakuan tidak normal. Bagi guru kaunseling, bertanyakan masalah murid ketika di sekolah juga sebenarnya sangat penting untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan mental kanak-kanak. Jadi apabila diberitahu anak perlu dirujuk pada pakar psikiatri, usah melenting, sebaliknya ambil tindakan segera bagi mengesahkan sama ada anak mengalami masalah kesihatan mental atau tidak.

Kesan masalah mental tidak dibantu
• Kanak-kanak tidak boleh belajar dan melaksanakan tugasan seperti orang lain
• Berisiko hilang minat untuk belajar (mungkin akan mengalami keciciran dalam pembelajaran
• Berisiko untuk ponteng sekolah dan berkemungkinan dibuang sekolah
• Cepat terpengaruh dengan kawan untuk mencuba sesuatu yang melanggar peraturan seperti merokok dan mengambil dadah
• Suka melawan, membantah dan kurang memberi kerjasama dengan orang dewasa
• Mereka menggunakan kekerasan dan ugutan untuk mendapat apa yang diingini
• Berisiko untuk lari dari rumah
• Berisiko tinggi bertindak agresif atau terbabit dengan aktiviti seksual
• Emosi berubah menjadi murung, sedih dan cepat marah
• Bersama dengan perubahan emosi, mereka sering memiliki pemikiran negatif terhadap diri sendiri dan alam sekitar, merasakan diri tidak berguna, hilang harapan dan rasa bersalah. Mereka juga sering menyalahkan diri sendiri atau orang lain. Apabila sampai ketahap ini, mereka boleh bertindak ganas terhadap diri sendiri atau orang lain.
• Berfikiran tiada gunanya untuk hidup

Kelakuan
• Guru atau rakan sekolah mengadu kanak-kanak itu tidak boleh duduk diam, sentiasa bergerak, meninggalkan tempat duduk, bercakap ketika guru mengajar atau mengacau orang lain
• Hyperaktif, gelisah, tidak boleh dududk diam melainkan ketika menonoton televisyen atau bermain komputer
• Sentiasa tidak boleh mengikut arahan, tidak boleh bekerjasama dan menggunakan kekerasan atau ugutan terhadap orang lain
• Membuli dan sering menggunakan kekerasan
• Sering dibuli
• Sukar berkawan
• Mudah marah dan bertindak agresif, contohnya menjerit, membaling atau memukul
• Berlaku perubahan dalam corak pemakanan atau tidur
• Hilang atau kurang tenaga dan tiada motivasi
• Hilang atau kurang minat pada persekolahan atau aktiviti yang dulunya digemari
• Makan terlalu banyak atau sebaliknya iaitu membuang, menjauhi atau takut untuk makan

Emosi
• Menyuarakan kebimbangan, ketakutan atau cemas
• Muka dan perasaan muram, sentiasa menangis
• Cepat marah dan hilang kawalan diri
• Berasa bingung, tertekan, susah hati dan tidak gembira
• Mengadu susah tidur, sentiasa bermimpi buruk dan bersedih
• Sukar menumpukan perhatian dan tidak boleh berfikir dengan betul
• Sentiasa berfikiran negatif, hilang keinginan untuk hidup, putus asa atau hendak lari dari rumah
• Mengadu sudah disentuh oleh orang lain dan sentiasa berasa tidak selesa serta tidak dapat melupakan kejadian itu
• Takut gemuk dan mulai mengelak makanan

Cara mengenalpasti ADHD
 Rujukan Awal
◦ Ibu bapa membawa anak berjumpa doktor pakar diagnostik atau ahli psikologi.
◦ Guru juga boleh memainkan peranan dengan mengenalpasti masalah murid tersebut dan memberitahu ibu bapa.

 Penilaian
◦ Untuk mengenalpasti kanak-kanak mempunyai tanda-tanda ADHD tidak boleh bergantung kepada satu ujian sahaja. Maklumat perlu dikumpulkan daripada ibu bapa, ahli-ahli perubatan yang pernah merawat kanak kanak, ahli keluarga dan guru. Antara penilaian yang dibuat :

Penilaian Perubatan
 melakukan ujian penglihatan, pendengaran dan pemeriksaan
 fizikal yang teliti.
 sejarah perkembangan kanak-kanak
 keadaan ibu semasa mengandungkan kanak-kanak tersebut
 pendapat kanak-kanak tentang persepsinya terhadap masalah yang dihadapi
 maklumat tambahan daripada ibu bapa dan guru.

Ujian Pencapaian Berterusan (Continuous Performance Test)
 direka bagi memerlukan kanak-kanak mengekalkan tumpuan untuk menjawab item-item ujian tersebut.
 Antara ujian yang dijalankan adalah Integrated Visual and Auditory Continuous Test (IVA)
 Test of Variables of Attention Continuous Performance

Penilaian Ibu Bapa
 maklumat berharga yang diberi oleh ibu bapa, apabila anak mereka diuji untuk ADHD kepada doctor atau guru
 Ibu bapa perlu menjawab senarai semak Conner’s Parent Rating Scale-Revised dan Child Behaviour Checklist for Ages 4-18, Parent Form.

Penilaian Guru dan Sekolah
 murid banyak meluangkan masanya bersama guru berbanding ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
 Guru pula mempunyai peluang untuk lebih mengenali dan mendapatkan maklumat daripada murid tersebut
 Guru perlu melihat bagaiman murid tersebut berperanan dalam persekitaran sekolah.
 Guru juga perlu menjawab penilaian skala tingkah laku seperti Conner’s Teacher Rating Scale-Revised.

Keperluan kanak-kanak ADHD
 Akibat daripada tingkahlaku yang berbeza ditunjukkan oleh kanak-kanak ADHD akan menyebabkan terganggu proses p & dan secara tidak langsung mengganggu kanak-kanak lain untuk belajar
 Guru perlu beri lebih perhatian kepada kanak-kanak ADHD semasa rutin kelas
 Amalan pendidikan untuk kanak-kanak ADHD perlukan sokongan moral dari peringkat awal daripada ibu bapa, guru, sokongan persekitaran, tingkah laku dan proses p & p

Ibu bapa
◦ Bureau on Learning Disabilities (BOLD) menetapkan 10 prinsip yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak mereka :
 Beri anak maklum balas dengan serta merta
 Beri maklum balas dengan kerap
 Hasil daripada t/laku dikenakan masa yang lebih lama dan lebih berat (seperti hukuman/dendaan)
 Gunakan ganjaran terlebih dahulu sebelum memberi hukuman
 Hendaklah sentiasa tetap dengan keputusan atau tindakan
 Lebih banyak bertindak, bukannya bercakap
 Elakkan krisis – tapi merancang untuk menangani masalah
 Sentiasa ingat bahawa anak anda tidak dapat mengelak daripada masalah kerana ADHD adalah satu ketidakupayaan
 Ingat bahawa ini bukan salah anda dan BAWA BERTENANG
 Sentiasa bersifat pemaaf dan lenyapkan kemarahan serta kekcewaan anda setiap hari

Guru
◦ Pengetahuan yang luas dalam ADHD untuk membolehkan p & p dilaksanakan dengan berkesan.

◦ Kemahiran mengurus t/laku dapat mengawal dan membentuk t/laku murid ADHD.

◦ Guru perlu bekerjasama dengan ibu bapa bagi salurkan maklumat-maklumat penting tentang anak mereka bagi menyusun strategi p & p.

Sokongan Persekitaran
◦ Kanak-kanak ADHD boleh belajar sekiranya dibantu oleh sokongan persekitaran berikut :

 Susunan kelas yang bebas daripada gangguan tumpuan perhatian.
 Menetapkan peraturan kelas yang jelas dan membincangkan jangkaan yang diharapkan.
 Menyediakan dan mematuhi rutin harian kelas dan mengingatkannya sekiranya terdapat sebarang perubahan.
 Menyusun pembelajaran dengan menjadikan proses pembelajaran lebih aktif.

Intervensi Tingkah Laku
◦ Dilaksanakan oleh guru
 Memberi ganjaran dan pengukuhan bagi t/laku yang diingini
 Strategi pencegahan – menghentikan t/laku yang tidak sesuai ketika permulaan
 Token ekonomi – memberi ganjaran dalam bentuk seperti sticker, bintang dll., punyai nilai ekonomi untuk ditukarkan dengan barang yang disukai

Intervensi Pengajaran
◦ Arahan yang diberikan hendaklah jelas, ringkas dan lengkap
◦ Apabila memberi arahan minta murid mengulang arahan tersebut kepada anda
◦ Pecahkan tugasan yang kompleks kepada bahagian kecil
◦ Gunakan banyak tindak balas aktif sepanjang pengajaran
◦ Gunakan kaedah pelbagai sensori dalam pengajaran
◦ Libatkan murid dalam aktiviti pembelajaran.

Kurikulum
◦ Murid berkeperluan khas ditempatkan dalam Program Khas Masalah Pembelajaran (PKBP) Sekolah Rendah dan Menengah

◦ Pelaksanaan adalah fleksibel mengikut keupayaan pelajar

◦ Pengajaran guru telah disesuaikan mengikut tahap kemahiran, motor kasar dan halus, keupayaan berkomunikasi

◦ Bagi menunjukkan kesinambungan kurikulum, sukatan pelajaran PKBP telah menggabungkan antara sekolah rendah dan menengah.

◦ Dengan itu, guru dan ibu bapa dapat melihat peningkatan pencapaian yang baik apabila murid mengikuti sukatan matapelajaran pada tahap yang lebih tinggi lagi.

Kesimpulannya.
 Kanak-kanak ADHD boleh dididik dan berpotensi berkembang seperti kanak-kanak lain

 Kualiti pendidikan di rumah amat penting dalam menentukan tahap pencapaiannya di sekolah

 Kecelaruan t/laku perlu dapat diatasi melalui proses pendidikan yang sesuai dengan ADHD dan bersistematik

 Ibu bapa dan guru perlu bekerjasama dan punyai pengetahuan tentang ADHD dalam merancang program pendidikan dan kerjaya kanak- kanak ADHD kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan