ADHD adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Ia melibatkan 3 jenis kepayahan :
- Kurang tumpuan
- Hiperaktif
- Menurut kata hati (Impulsiviti)
Satu kajian ke atas kanak-kanak Malaysia berumur di antara 5 – 15 tahun menunjukkan seramai 4.3% mempunyai ciri-ciri ADHD. Kebanyakkannya dihidapi oleh kanak-kanak lelaki.
Tiada punca utama di temui walaupun faktor genetik dan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak mungkin menyumbang kepada terjadinya masalah ini.
Tanda & gejala
Seorang kanak-kanak dikatakan mempunyai masalah ADHD sekiranya dia mempunyai lebih dari 6 gejala dari kategori A dan/atau kategori B.
A. Kurang tumpuan
Kanak-kanak sentiasa :
- Melakukan banyak kesilapan di dalam kerja sekolah.
- Mempunyai masalah untuk mengatur aktiviti-aktivitinya
- Sering kehilangan barang di rumah dan di sekolah
- Tidak dapat menyelesaikan tugasnya
- Tidak memberi perhatian kepada orang yang sedang bercakap dengannya
- Tidak berupaya mematuhi arahan
- Mengelakkan aktiviti yang memerlukan konsentrasi dan fikiran
- Mudah hilang perhatian
- Pelupa
B. Hyperaktif
Kanak-kanak sering :
- Menggoyang-goyangkan tangan dan kakinya serta mengeliat dan resah di tempat duduknya
- Meninggalkan kerusinya di kelas walaupun sepatutnya ia duduk di situ
- Berlari-lari dan memanjat-manjat dengan berlebihan (lebih dari kanak-kanak biasa)
- Bising waktu bermain
- Sentiasa bergerak ke sana ke mari (tidak duduk diam)
- Banyak bercakap
C. Menurut kata hati (Impulsiviti)
Kanak-kanak akan :
- Menjawab dengan spontan walaupun soalan yang diajukan belum habis
- Tidak sabar menunggu giliran
- Sering mengganggu rakan lain semasa mereka bercakap atau bermain
- Tambahan :
- Gejala gejala dapat dikesan sebelum kanak-kanak berumur 7 tahun
- Gejala gejala mestilah telah melebihi tempoh 6 bulan
- Perubahan ini berlaku lebih dari satu tempat atau keadaan seperti di sekolah, rumah, tempat awam
- Perubahan kelakuan tidak setaraf dengan umur kanak-kanak itu
- Tidak ada masalah tumbesaran atau kesihatan
- Perubahan perlakuan menimbulkan masalah kepada kanak-kanak itu di sekolah, dengan rakan rakan dan kehidupan hariannya
Sekiranya anak anda memenuhi kriteria seperti di atas, sila mendapat bantuan profesional dengan segera.
Komplikasi
- ADHD biasanya wujud bersama Gejala Tentangan dan Bantahan (Oppositional Defiant Disorder) di mana kanak-kanak itu berkelakuan degil, keras kepala, pemarah dan pembangkang.
- Masalah harga diri boleh berlaku kerana kesusahan di sekolah, rumah dan rakan rakan.
- Masalah pembelajaran adalah biasa terjadi kerana kanak-kanak ini tidak dapat memberi tumpuan pada pelajaran di sekolah.
Rawatan
Ubat ubatan boleh menurunkan kadar hyperaktiviti kanak-kanak ini dan membantu mereka untuk belajar dengan lebih baik. Ubat untuk ADHD yang digunakan dalam jangkamasa panjang adalah diketahui selamat untuk digunakan. Ianya disarankan untuk kanak-kanak berusia 6 tahun. Ubat yang biasa digunakan ialah Methylphenidate (Ritalin). Kesan sampingan yang biasa berlaku ialah hilang selera makan, hilang berat badan dan gangguan tidur.Pengambilan ubat perlu mendapat nasihat dari pegawai perubatan dan kesan sampingannya perlu dipantau.
Pemulihan
Intervensi tingkah laku
Ada beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa di rumah dan mungkin boleh berbincang dengan guru-guru untuk dipraktikkan di sekolah :
- Berikan arahan satu persatu dengan jelas dan pastikan bahawa kanak-kanak tersebut memberi perhatian dan memahaminya.
- Beri pujian sekiranya mereka membuat sesuatu dengan baik. Cara ini akan menaikkan rasa harga dirinya. Berikan pujian dengan spesifik/tepat, contoh: tunjukkan anda berasa gembira kerana mereka telah menyimpan permainan di tempat yang betul.
- Wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan kelakuan yang baik. Carta Bintang (hyperlink) adalah satu cara yang bagus untuk membantu kanak- kanak berkelakuan dengan lebih baik.
- Kekalkan kebiasaan aktiviti harian supaya kanak-kanak dapat menjangka apa yang berlaku setiap hari.
- Bantu kanak-kanak mengatur aktiviti harian mereka dengan menyediakan senarai semak untuk memastikan tugasnya disempurnakan.
- Galakkan anak-anak untuk mengawal kata hatinya, umpamanya berfikir dulu sebelum mengeluarkan kata-kata.
- Bina semangat dan kelebihan yang ada pada kanak-kanak itu dan jangan menitik beratkan pada kelemahannya sahaja.
- Tempatkan kedudukan kanak-kanak di bahagian barisan hadapan kelas.
- Minta bantuan guru untuk mencatitkan kerja kerja sekolah di dalam buku khas yang mana kanak-kanak ini boleh menunjukkannya kepada anda semasa di rumah nanti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan